BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, October 28, 2009

Sarawak : Kekalkan Budaya Tradisi

Kekalkan budaya tradisi


MICHAEL Manyin Jawong (kanan) disambut oleh beberapa wanita berpakaian tradisional ketika memasuki bori balung pada Pirami Ritik Adat (Pesta Citrawarna Budaya) Bidayuh Bau 2009 di Kuching, baru-baru ini. - utusan/SOPI SAMAILE


KUCHING 28 Okt. - ''Kita perlu mengekalkan tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang malah kita mungkin boleh menambah baik pendekatan persembahan kebudayaan dengan lebih menarik lagi.''

Demikian kata Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan Sarawak, Datuk Michael Manyin Jawong sambil menambah, persembahan kebudayaan masyarakat pribumi di negeri ini mesti dinaik taraf serta ditambah nilai bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan di negeri Sarawak.

Menurutnya, ciri-ciri kebudayaan seperti persembahan tarian tradisional yang dipaparkan setakat ini masih berada di tahap yang sama.

''Sehubungan itu, kumpulan persembahan kebudayaan dan tarian di negeri ini diseru mempertingkatkan mutu pertunjukan mereka dengan menampilkan kelainan yang dapat memberi impak jangka panjang kepada pelancong domestik mahupun asing.

''Kebudayaan yang kita miliki mempunyai keunikan yang tidak terdapat di mana-mana negara lain dan kita bukan sahaja memuliharanya tetapi ia juga perlu dinaik taraf," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis 'Pirami Ritik Adat' (Pesta Citrawarna Budaya) Bidayuh Bau 2009, di Kampung Suba Buan dekat sini baru-baru ini.

Tema bagi pesta kali kelima itu ialah 'Bidayuh Seiring Ke Arah Pembentukan 1Malaysia', iaitu satu tema yang dipilih ke arah menyokong aspirasi pembentukan rakyat Malaysia yang bersatu padu supaya agenda kerajaan untuk memakmur serta membangunkan negara dapat berjalan dengan lancar.

Manyin menambah, kementeriannya akan berusaha mempromosikan perkampungan Bidayuh ke luar negara dengan membawa masuk pelancong khususnya dari Singapura.

Pada masa yang sama, beliau mahu melihat penampilan persembahan yang berlainan dan ditambah nilai supaya pelancong akan datang kembali.

Dalam perkembangan lain, Manyin yang juga Ketua Penasihat Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA) berkata, sekarang adalah masa yang sesuai bagi komuniti Bidayuh melihat semula kebudayaan mereka dan membuang usur-unsur yang menghalang kemajuan.

Manyin meminta cawangan-cawangan DBNA agar mengenal pasti elemen kebudayaan yang negatif dan menolaknya supaya boleh mara ke hadapan seiring dengan kaum lain dalam era pembangunan di negeri ini.

Tambahnya, apa juga bentuk unsur yang membatasi kemajuan sepatutnya diketepikan dan elemen yang baik pula mesti dipulihara serta dipraktikkan.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti telah dilakukan sepanjang hari pesta berkenaan, seperti pertandingan membina 'bori balung', pertandingan sukaneka amalan tradisi Bidayuh, pertandingan memasak cita rasa masakan Bidayuh bersama Maggi, persembahan kebudayaan serta pameran hasil kraf tangan Bidayuh.

0 comments: