BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, September 16, 2009

CERITA seorang muslim

Jenazah Mariam selamat dikebumikan


KOTA TINGGI: Mariam Johari, wanita yang meninggal dunia di Korea Selatan selepas terkandas di negara itu selama 64 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, di sini, petang ini.

Jenazah warga emas berusia 88 tahun itu dikebumikan kira-kira jam enam petang dengan dihadiri kira-kira 50 orang termasuk anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani, 72, adik bongsu Mariam, Iash Johari, 76.

Terdahulu, hujan lebat mengiringi ketibaan jenazah Mariam di Hospital Kota Tinggi kira-kira jam 3.40 petang untuk dimandi dan dikafan sebelum disembahyangkan di Masjid Jamek Kota Tinggi kira-kira jam 5.15 petang.


Mariam menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah rumah kebajikan di Korea Selatan pada 5 September lalu akibat kegagalan buah pinggang.

Terdahulu, jenazah Mariam diterbangkan dari Seoul pada jam 8.50 malam semalam dengan pesawat Thai Airways melalui Bangkok dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12 tengah hari tadi.

Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae, yang dilahirkan di Plentong, Johor Baharu, terkandas di Korea Selatan selepas mengikuti Cho Se Won, seorang tentera kerahan Jepun.

Hasrat Allahyarham untuk bertemu anak-anaknya yang ditinggalkan di negara ini sebelum ini termakbul melalui inisiatif stesen penyiaran Korea Broadcasting System (KBS) apabila beliau ditemukan dengan Ramlah, Jelani, cucunya, Ahmad Onn, 43, dan menantu, Siti Zainab Noor, 37, di studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007 menerusi program "Love in Asia".

Pada 5 September 2007, warga emas itu kemudian pulang ke negara ini untuk bertemu keluarganya dan kembali semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.

Sementara itu, Jelani ketika ditemui berkata, beliau dan seluruh ahli keluarga bersyukur kerana jenazah ibunya dapat disemadikan di sini seperti yang dihasrat ibunya.

"Terima kasih kepada semua pihak yang bersusah-payah menguruskan penghantaran jenazah ibu saya. Raya ini amat bermakna sekurang-kurangnya kami dapat melawat pusara ibu kami pada hari raya kali ini," katanya. - Bernama

REF : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20090916214422/Article/index_html

0 comments: