SHAH ALAM 16 Sept. - Selepas lebih tiga tahun menghilangkan diri, Abd. Kahar Ahmad yang mendakwa dirinya 'rasul Melayu' terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di dalam penjara.
Ini berikutan perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini yang mengarahkannya ditahan sehingga perbicaraan lima tuduhan berkaitan ajaran sesat yang dihadapinya bermula.
Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad memerintahkan tertuduh ditahan selama lapan hari mengikut Seksyen 107 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor 2003 selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Hamid.
Beliau menetapkan 24 September ini untuk sebutan bagi menyambung waran tahanan itu.
Terdahulu, Abdul Shukor memohon agar Abd. Kahar, 59, dikenakan waran tersebut untuk membolehkan tertuduh ditahan di penjara sehingga perbicaraan pada 7 Oktober ini.
Katanya, selepas 19 Jun 2006, ketua ajaran sesat itu tidak pernah hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kesnya walaupun beberapa kali dikenakan waran tangkap.
Menurut beliau, kehadiran tertuduh pada hari ini juga bukan atas kerelaan atau kesedaran sendiri, tetapi selepas dia berjaya ditangkap dan dibawa oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke mahkamah.
Abd. Kahar bagaimanapun merayu agar dibebaskan dengan jaminan dan memaklumkan dia tidak hadir kerana menerima ugutan bunuh dan bimbang akan dibunuh semasa berada di mahkamah.
Dia turut mendakwa ada pihak cuba membunuhnya apabila rumahnya dibakar selain masih belum mendapat peguam selepas dituduh empat tahun lalu.
''Saya membuat pengakuan bahawa saya tidak akan lakukan apa-apa tindakan termasuk menyebarkan risalah atau apa-apa sehingga tarikh perbicaraan.
''Saya juga berjanji tetap akan hadir, Insya-Allah,'' katanya.
Peguam pemerhati mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar yang menyokong permohonan pihak pendakwa turut mencelah bahawa keselamatan Abdul Kahar akan lebih terjamin sekiranya dia berada dalam tahanan.
Abd. Kahar yang berkemeja kuning dan berseluar gelap tiba di mahkamah kira-kira pukul 11.15 pagi diiringi beberapa pegawai penguat kuasa JAIS.
Turut hadir menemaninya ialah dua anak perempuannya. Mereka bagaimanapun tidak masuk ke dewan bicara kerana tidak berpakaian menutup aurat.
Abd. Kahar didakwa pada 17 Ogos 2005 atas tuduhan mengisytiharkan diri sebagai rasul orang Melayu akhir zaman dan menjelaskan doktrin palsu (isu-isu keagamaan) yang bertentangan dengan hukum syarak berhubung agama Islam.
Dia juga didakwa mengingkari, melanggar arahan mufti iaitu masih menjelaskan amalan dan mengajar ajaran Kahar Ahmad di hadapan tiga lelaki sedangkan ia telah difatwakan sebagai menyeleweng daripada Islam.
Bagi pertuduhan keempat dan kelima, Abd. Kahar didakwa telah mempersendakan amalan Islam serta menyebarkan pendapat dan ajaran Kahar antaranya, rasul tidak benar dan bertentangan dengan hukum syarak serta fatwa yang masih berkuat kuasa di Selangor.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 dan 2 Jun 2005 di No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang dekat sini.
Mahkamah ketika itu membenarkan Abd. Kahar dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM8,000. Dia bagaimanapun tidak hadir sehingga kes tersebut tidak dapat dibicarakan sejak empat tahun lalu.
Ref : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm
0 comments:
Post a Comment